Monday, September 14, 2009

LAPORAN AKTIVITI DAN PROGRAM

LAPORAN AKTIVITI DAN PROGRAM

Minggu Kecergasan SKSAT 2009
Tarikh : 8 Julai 2009 (Rabu)
Masa : 7.45-9.00 pagi (Sesi 1)
5.00-6.30 petang (Sesi 2)
Tempat : Tapak Perhimpunan
Pada minggu pertama bulan Julai 2009 telah diadakan Minggu Kecergasan untuk semua murid dan guru SKSAT. Semua yang terlibat diwajibkan menghadiri acara tersebut yang bermula pada jam 7.45 pagi hingga 9.00 pagi. Acara dimulakan dengan ucapan Guru Besar sempena dengan pelancaran minggu kecergasan sekaligus merasmikan majlis tersebut. Seterusnya acara diambil alih oleh En Mohd Rashid, PK Kokurikulum juga selaku penyelaras Minggu Kecergasan dengan aktiviti memanaskan badan dan diikuti dengan Tarian Poco-poco.
Bertempat di tapak perhimpunan SKSAT, Minggu Kecergasan sekali lagi diteruskan dengan acara Tarian Poco-poco dan diiikuti dengan Chicken Dance pada sesi kokurikulum. Acara ini diadakan seawal pukul 5 petang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga sekolah.
Memetik kata-kata Herophilus, When health is absent wisdom cannot reveal itself, art cannot manifest, strength cannot fight, wealth becomes useless and intelligence cannot be applied”. Acara tersebut berlangsung dengan jayanya dan mendapat sambutan luar biasa daripada semua pihak.
Pendek kata, sehebat mana murid belajar dan guru mengajar, keseimbangan serta gaya hidup yang sihat mesti sentiasa dipelihara dan dipulihara dalam masa yang sama. Sesungguhnya kecemerlangan akhirat juga bertitik-tolak melalui prestasi hidup yang sihat di dunia dan yang penting sentiasa amalkan gaya hidup yang sihat.

Sambutan Israk Mikraj
Tarikh : 16 Julai 2009 (Khamis)
Masa : 11.45 pagi-1.10 petang
Tempat : Dewan Terbuka(A) SKSAT
Program ini dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Badan Disiplin Pengawas dan Majlis Staf SKSAT. Program ini melibatkan semua murid-murid yang beragama Islam dan guru-guru SKSAT. Beberapa aktiviti diadakan iaitu acara kompang selawat disertai oleh pasukan kompang SKSAT di bawah pimpinan En Mazlan Ismail (Guru Muzik), bacaan Al-Quran, ceramah dan kuiz.
Program ini adalah aktiviti wajib yang perlu disambut pada setiap tahun di peringkat sekolah. Ianya adalah untuk memperingati tentang peristiwa besar dan amat luar biasa dalam sejarah Islam iaitu Israk Mikraj yang berlaku kepada Nabi Muhammad SAW. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurniaan Allah SWT kepada baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaanNya.
Bahkan, ia memberi kesedaran selaku umat Islam wajib percaya dan meyakini bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad SAW adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Ia dianggap sebagai penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian
Ia juga dapat memberi pendedahan awal dan mendidik jiwa para peserta agar dapat mengamalkan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya dan sentiasa mengingati bahawa segala-gala boleh berlaku dengan kehendakNya dan kekuasaan Allah SWT selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.




Refleksi
Ketepatan masa dapat dilihat sewaktu perlaksanaan program tersebut. Pengumuman telah dibuat 30 minit awal sebelum aktiviti bermula. Jadi, guru dapat membawa murid ke dewan pada masa yang telah ditetapkan. Bahkan, program dapat berjalan dengan lancar seperti yang telah dijadualkan kerana murid dapat dikumpulkan mengikut masa yang telah ditetapkan.
Setiap guru memainkan peranan masing-masing khususnya peranan guru kelas bagi setiap kelas. Setiap guru telah mendapat maklumat awal tentang program yang akan dilaksanakan. Justeru, peranan guru kelas ialah mengumpul murid-murid di luar kelas, memastikan bilangan murid mengcukupi dan mengiring murid-murid ke dewan.
Sistem kawalan murid mengikut susunan kelas di bawah seliaan En Muzaffar b Tawang selaku guru disiplin SKSAT dengan kerjasama guru-guru kelas adalah teratur mengikut susunan kelas Tahap 1 dan Tahap 2. Ini adalah sistem kawalan murid yang sentiasa digunakan untuk memudahkan guru menyusun dan membuat kawalan murid-murid sewaktu sesuatu program dilaksanakan.
Selain itu, perlunya sesuatu program berbentuk keagamaan untuk membentuk sahsiah murid yang terpuji. Jadi, program ini dapat membantu secara tidak langsung untuk membentuk sahsiah diri seseorang murid-murid agar menjadi insan yang berguna di masa akan datang dengan sifat-sifat terpuji yang ada pada diri mereka.
Justeru, berdasarkan kepada beberapa perkara di atas, saya akan jadikan panduan di masa akan datang sewaktu berkhidmat sebagai guru nanti. Segala pengalaman yang dilihat semasa program “Sambutan Israk Mikraj Peringkat Sekolah” perlu diambil kira khususnya dari segi perlaksanaan dan topik yang ingin disampaikan apabila mengendalikan sesuatu program berbentuk keagamaan di masa akan datang.



Ceramah motivasi
Hari : Khamis
Tarikh : 23 Julai 2009
Masa : 11.00 pagi-1.00 petang
Tajuk ceramah motivasi ini ialah “Persediaan Sebelum Menghadapi Peperiksaan UPSR” anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SKSAT. Ceramah ini di adakan di Dewan Terbuka A iaitu melibatkan semua murid Tahun 6 SKSAT iaiti seramai 180 orang dan guru-guru yang terlibat dengan P&P pada waktu tersebut. Ceramah ini dihadiri oleh penceramah jemputan dari luar iaitu Tuan Haji Mohd Arif bHaji Mohd Noor selaku ahli lembaga pengarah Northern Consultant & Training Development Sdn Bhd (NCTD).
Program ini di adakan khusus untuk memupuk semangat murid-murid agar terus bersemangat untuk belajar dan tidak mudah berputus asa sebelum menempuhi peperiksaan dalam tempoh 1 bulan lagi. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan pendedahan kepada kemahiran belajar yang berkesan. Hal ini dapat membantu murid-murid agar dapat mencapai kecemerlangan akademik dan benar-benar bersedia untuk menempuhi peperiksaan UPSR nanti.
Dengan adanya program sebegini, ia dapat membina semangat jati diri, semangat juang dan tidak mudah menyerah kalah serta tidak lemah semangat dalam menghadapi tekanan sama ada dalaman atau luaran. Murid-murid mendapat kesedaran untuk mengenalpasti kelemahan dan kekuatan diri dalam mengharungi cabaran akademik
Program ini juga turut menyentuh tentang realiti kehidupan murid-murid khususnya hubungan dengan Pencipta, hubungan dengan ibu bapa, hubungan dengan guru dan hubungan dengan rakan-rakan. Mereka perlu mengambilkira perkara-perkara yang perlu mereka lakukan apabila berhadapan dengan individu tersebut.

Refleksi
Saya dapat mempelajari dari guru pembimbing bagaimana untuk menganjurkan slot ceramah motivasi terutamanya melibatkan penceramah dari luar. Pertamanya perlu merangka kertas kerja perlaksanaan program tersebut. Apabila kertas kerja tersebut mendapat kelulusan dari guru besar, penganjur boleh membuat jemputan penceramah luar dan membuat penetapan tarikh. Sebelum program bermula, penganjur perlu memastikan alat audio visual berfungsi dengan baik, papan putih untuk catatan penceramah dan murid-murid berada mengikut susunan kelas.
Saya juga dapat melihat bagaimana interaksi penceramah yang berpengalaman dengan murid-murid. Penceramah sentiasa bertanya soalan kepada murid-murid. Sesi soal jawab antara penceramah dan murid-murid menyebabkan murid-murid tidak leka dan sentiasa memberi tumpuan kepada apa yang dinyatakan oleh penceramah.Beberapa teknik digunakan untuk menarik minat murid terhadap slot ceramah yang dikendalikan iaitu peraturan yang dikeluarkan oleh penceramah kepada murid-murid iaitu beliau sentiasa memanggil murid-murid ke hadapan dan memberi ganjaran berbentuk wang apabila murid dapat menjawab soalan yang diberikan.
Slot ceramah juga banyak dimasukkan nyanyian lagu-lagu nasyid yang bermotifkan muhasabah diri. Penceramah akan memberi ceramah dan selitkan lagu-lagu agar murid-murid tidak bosan. Lirik lagi tersebut juga memberi kesedaran kepada murid-murid kerana ia berkaitan dengan kehidupan sehariannya dan perkara-perkara yang perlu di beri perhatian dalam kehidupan.






Mesyuarat Mingguan
Hari : Rabu
Tarikh : 29 Julai 2009
Masa : 1.20- 2.40 petang
Mesyuarat ini di adakan setiap minggu iaitu pada hari Rabu. Ia akan melibatkan semua guru dan guru pelatih praktikum. Ia dijalankan di Bilik Mesyuarat SKSAT.. Mesyuarat ini di mulakan dengan PK Pentadbiran iaitu En Mohd Rashid iaitu:
1) Lawatan ke Kuala Kangsar melibatkan semua guru SKSAT kecuali guru pelatih praktikum pada 4 Ogos 2009 (Selasa). Lokasi lawatan adalah di Sekolah Sultan Idris iaitu Sekolah Kluster Pertama, Galeri Azlan Shah dan Pembuatan Labu Sayung.
2) Prosedur yang perlu diikuti bagi pertukaran guru sama ada dalam negeri, antara daerah dan dalam daerah yang perlu disegerakan mengikut tarikh yang ditetapkan.
3) Penghantaran borang bagi permohonan guru cemerlang.
4) Mesyuarat kurikulum kali ke-3 pada 30 Julai 2009 (Khamis).
5) Kebersihan kelas yang perlu diberi perhatian oleh guru kelas.
6) Kawalan kelas semasa pengajaran dan pembelajaran oleh guru matapelajaran.
7) Larangan kepada semua guru untuk tidak menggunakan pengaruh luar untuk mendapatkan sesuatu jawatan.
8) SSQS (Smart School Quality Standard).
Mesyuarat diikuti pula oleh En Ali b Abdullah selaku PK Hal Ehwal Murid iaitu:
1) Langkah-langkah berjaga-jaga mengenai virus H1N1 iaitu guru-guru mesti peka dengan kesihatan murid dan peka terhadap kemungkinan murid terdedah kepada penyakit tersebut.
2) Buku rekod kedatangan murid perlu dikemaskini tentang butiran murid, bilangan masuk dan maklumat diri murid.
3) Kedatangan murid- Guru perlu ambil perhatian pada murid yang tidak hadir berturut-turut.
Dan, Guru Besar memberitahu beberapa perkara iaitu:
1) Lawatan guru sakit- En Mohd Radzi.
2) Maklumat pihak atasan PPD
3) Pemantauan PPD
4) Isu semasa
5) Program-program sekolah
6) Pemantauan P&P
7) Kes keselamatan murid
8) Masalah disiplin
9) Peranan guru
10) Prosedur kewangan
11) Pemantauan pentadbiran











Refleksi
Komunikasi dua hala antara pihak pentadbir dan guru-guru dapat dilihat khususnya sewaktu pemberitahuan sesuatu maklumat pihak pentadbir akan memberitahu maklumat-maklumat terbaru kepada guru-guru khususnya perkara yang berkaitan dengan tugas guru yang perlu dilaksanakan dan perlu disegerakan. Manakala guru-guru menerima maklumat yang disampaikan dan bertanya kepada pihak pentadbir jika ada kekeliruan.
Pemberitahuan maklumat mengikut susunan pihak pentadbir dari rendah ke tinggi bermula dengan PK Pentadbiran, diikuti PK Hal Ehwal Murid dan kemudiannya dikuti oleh Guru Besar. Ini menunjukkan penyampaian maklumat mengikut sistem yang ditetapkan dan maklumat yang disampaikan adalah berbeza.
Pemberitahuan maklumat adalah meliputi isu semasa yang perlu diketahui oleh guru dan perlu diambil perhatian. Semua perkara yang disampaikan oleh pihak pentadbir adalah perkara yang berkaitan dengan guru dan murid yang perlu diberi perhatian dan perlu diambil tindakan segera. Justeru, guru sentiasa mendapat maklumat terbaru dari pihak pentadbir dan sentiasa mengetahuai maklumat semasa.









Program Eureka RE &EE Beach House Sekolah Rendah Peringkat Negeri Kedah SKSAT 2009
Tarikh : 14 Julai 2009 (Selasa)
Masa : 8.30-10.30 pagi
Tempat : SMK Taman Jelutong, Kulim Kedah
SKSAT telah terpilih untuk menyertai pertandingan ini bagi peringkat negeri Kedah. Tajuk bagi pertandingan ini ialah Eureka RE. Tema bagi pertandingan ini adalah Renewable Energy And Energy Efficient Beach House iaitu peserta perlu menghasilkan satu model rumah di tepi pantai yang dilengkapi dengan ciri-ciri kecekapan tenaga dan menggunakan sumber semulajadi secara optimum. Projek yang dihasilkan hendaklah dibuat dan disiapkan di tempat pertandingan. Setiap pasukan juga dikehendaki menyediakan buku idea yang disediakan dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris di tempat dan semasa pertandingan dijalankan.
Pertandingan ini adalah melibatkan murid Tahun 4 dan Tahun 5 di mana SKSAT telah menghantar 4 orang wakil murid untuk menyertai pertandingan tersebut. Wakil murid adalah terdiri daripada 2 orang murid lelaki dan 2 orang murid perempuan. Tempoh persiapan untuk melatih murid-murid untuk mencari idea dan merekabentuk rumah seperti yang dikehendaki dalam pertandingan adalah selama seminggu. Di bawah penyelaras Puan Marlina dan kerjasama guru pelatih praktikum serta mendapat sumbangan idea dari Pensyarah Politeknik iaitu En Abdul Halim, Pasukan ini dilatih selama tiga hari berturut-turut sebelum pertandingan. Pasukan ini berjaya meraih Naib Johan di peringkat Negeri Kedah.
Dengan adanya program sebegini, ia mampu mencungkil kebolehan para peserta khususnya menghasilkan ciptaan merangkumi aplikasi sains. Pendedahan awal di peringkat sekolah rendah ini juga dapat melihat sejauhmana pemikiran dan kemahiran saintifik para peserta untuk menghasilkan suatu ciptaan sendiri sekaligus menjadi harapan sekolah serta menaikkan nama sekolah di peringkat negeri mahupun kebangsaan.
Refleksi
Pertama kali saya menimba pengalaman baru di mana saya telah diberi dua tugasan iaitu melatih para peserta untuk menghasilkan ciptaan merangkumi aplikasi sains dan menghasilkan buku idea untuk menerangkan projek yang dihasilkan. Saya tidak mempunyai asas dalam bidang sains tetapi melalui pembacaan dan pengetahuan am mengenai tenaga yang boleh diperbaharui masa kini dapat membantu saya melaksanakan tugasan ini. Saya turut mendapatkan maklumat melalui internet dan pendapat dari rakan-rakan yang mempelajari bidang sains.
Saya juga mendapat ilmu pengetahuan khususnya tentang rekabentuk rumah dari En Abdul Halim yang merupakan pensyarah dalam bidang berkenaan. Beliau banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dan khususnya kepada peserta tentang apa yang perlu dimasukkan dalam ciptaan rumah dengan menambah elemen sains dalam ciptaan tersebut. Segala penambahbaikkan sebelum pertandingan kami perbetulkan hasil dari tunjuk ajar dari beliau.
Saya juga mencurahkan idea khususnya dalam menghasilkan buku idea. Saya telah menyediakan buku idea dalam Bahasa Inggeris. Hal ini kerana peserta yang terlibat untuk menerangkan tentang buku idea tersebut adalah murid India dan lebih fasih dalam Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Malaysia. Saya mengambil masa selama satu hari untuk menghasilkan buku idea tersebut dengan dibantu oleh guru pelatih praktikum lain.
Akhir sekali, saya berasa bangga kerana berpeluang untuk mengikuti latihan praktikum di SKSAT kerana sekolah Kluster ini sering menjadi tumpuan sekolah lain dengan kehebatan yang ada pada guru dan murid-muridnya. Justeru, segala pengalaman dalam persiapan Pertandingan Eureka ini akan saya jadikan panduan di masa akan datang khususnya apabila dilantik menjadi guru nanti.



Hari Anugerah Cemerlang 2009
Tarikh : 3 Ogos 2009 (Isnin)
Masa : 8.30 pagi-1.00 petang
Tempat : Dewan Terbuka (A) SKSAT
Hari Anugerah Cemerlang SK Sultan Ahmad Tajuddin telah diadakan pada 03 Ogos 2009. Ianya diadakan untuk meraikan kejayaan anak-anak yang mendapat keputusan cemerlang di dalam bidang akademik. Selain daripada penyampaian Hadiah kepada setiap pemenang kelas dari Tahun 1 sehingga Tahun 6. Majlis ini telah meraikan pelajar Tahun 6 pada 2006 yang mendapat 5A di dalam UPSR pada persekolahan tahun lepas. Pada majlis ini Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin telah berbesar hati menjemput Yang Berusaha Tuan Haji Abu Yazit b Zain, BCK, Pegawai Pelajaran Daerah kubang Pasu untuk merasmikan majlis tersebut.
Majlis yang bermula pada pukul 9.00 pagi telah tamat dengan jayanya pada jam 1.00 petang. Penerima anugerah adalah meliputi murid pra sekolah, kelas istimewa, Tahun 1, Tahun 2, Tahun 3, Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6. Manakala anugerah khas adalah seperti Anugerah Nilam, Anugerah Pencapaian 5A UPSR 2006, Anugerah Khas Ko-Kurikulum (Wakil Negeri), Anugerah Potensi Kokurikulum (Pencapaian Di Peringkat Negeri), Tokoh Sukan serta Tokoh Murid. Berbagai-bagai aktiviti-aktiviti menarik yang diadakan sempena majlis ini seperti bergambar kenang-kenangan, persembahan tarian dan karaoke.
Program ini adalah sangat berfaedah kerana ia telah memberi pengiktirafan di atas kejayaan dan pencapaian pelajar dalam akademik, ko-akademik dan ko-kurikulum. Bahkan, ia turut mendorong murid yang kurang berjaya untuk terus bersemangat untuk berjaya. Semoga majlis ini diberkati dan tahniah kepada anak-anak yang telah berjaya dan kepada yang kurang bernasib baik boleh mencubanya di tahun hadapan.


Refleksi
Semasa hari Anugerah Cemerlang 2009 ini, saya diberi tugasan untuk persiapan pentas Dewan Terbuka (A). pentas ini adalah pentas utama di mana di sinilah VIP akan berucap dan juga para waris ditempatkan. Apa yang dapat saya pelajari semasa melaksanakan tugasan ini ialah pertamanya bekerja mengikut arahan ketua(Pn Wan Rohaini). Segala bentuk persiapan perlu mendapat arahan dari beliau. Bahkan, beliau merupakan guru yang berpengalaman selama 3 tahun khususnya dalam membuat persiapan pentas. Di sini saya dapat mempelajari cara susun atur dewan mengikut susunan yang betul.
Keduanya, saya dapat bekerja dalam kumpulan. Semasa membuat pesiapan dewan tersebut, semua guru yang trlibat dalam persiapan dewan sama-sama berkumpul di dewan dan setiap orang mempunyai peranan masing-masing. Semua guru yang terlibat membuat kerja dengan lancar. Apa yang penting di sini ialah bekerjasama agar memudahkan sesuatu perlaksanaan sesuatu tugas. Kami juga mengenalpasti segala perkara yang telah dilaksanakan pada akhir persiapan. Justeru, cara bekerja secara berkumpulan dan bertindak mengikut arahan ketua dapat saya aplikasikan sewaktu berkhidmat di masa kan datang.









Program Motivasi dan Eksplorasi Kecemerlangan 2009
Tarikh : 10 Ogos 2009 (Isnin)
Masa : 8.30-10.30 pagi
Tempat : Surau SKSAT
Tajuk ceramah motivasi ini ialah “Program Motivasi dan Eksplorasi Kecemerlangan 2009” anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SKSAT dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Skim Bantuan Tuisyen SKSAT. Ceramah ini di adakan di Dewan Terbuka (A) iaitu melibatkan semua murid yang terlibat dalam Skim BantuanTuisyen SKSAT iaitu seramai 61 orang dan guru-guru yang terlibat dengan P&P pada waktu tersebut. Ceramah ini dihadiri oleh penceramah jemputan dari luar iaitu Puan Safiza selaku Guru Bimbingan SK Dato Wan Kemara.
Kecemerlangan pelajar tidak diukur dari segi akademik semata-mata sebaliknya kecemerlangan ini haruslah seiring dengan sahsiah diri yang mantap dalam setiap diri insan. Bagi meningkatkan keyakinan diri pelajar , program ini dirancang dengan kerjasama guru pelatih praktikum bimbingan dan kaunseling IPGM Kampus Darulaman khusus untuk memberi penekanan kepada meningkatkan motivasi dan pendedahan kepada kemahiran belajar yang berkesan. Program ini juga dirangka agar murid-murid dapat mencapai matlamat kecemerlangan diri dan sahsiah yang terpuji.
Diharapkan dengan terlaksananya program seperti ini akan dapat memberi kekuatan terhadap jati diri murid dalam kehidupan sehariannya sebagai pelajar. Dengan adanya jati diri yang kukuh mampu mempertingkatkan sahsiah diri yang sedia ada dalam diri murid-murid untuk menuju ke arah kecemerlangan dalam akademik dan menghadapi realiti kehidupan sebenar. Diharapkan juga para peserta akan membuka minda untuk mengubah persepsi diri dan berusaha untuk mempelajari cara pembelajaran berkesan berdasarkan strategi yang betul.


Refleksi
Bagi Program Motivasi dan Eksplorasi kecemerlangan 2009 ini, saya telah diberi tugas sebagai setiausaha di mana saya perlu membuat kertas kerja program ini. Sebelum program ini berlangsung, saya membuat persiapan tempat, persediaan PA System dan membuat kawalan murid. Manakala semasa program ini berlangsung, satu perkara dapat dilihat iaitu murid-murid kurang memberi tumpuan dan sedikit bising. Beberapa cadangan dan penambahbaikan perlu diambilkira sebagai panduan kepada saya untuk mengendalikan ceramah di masa akan datang.
Antaranya ialah penceramah perlu berdiri semasa mengendalikan sesuatu ceramah iaitu penceramah perlu lebih tinggi kedudukannya daripada peserta. Hal ini adalah penting untuk menarik perhatian para peserta dan membuat kawalan semasa ceramah berlangsung. Suara penceramah juga perlu ada intonasi tertentu untuk memberi kekuatan tentang apa yang diperkatakan dan dapat menarik tumpuan peserta.
Isi ceramah juga mestilah menarik dan bersesuaian dengan tahap penerimaan murid. Bahkan masa yang yang diberikan perlu dipenuhi dengan aktiviti sampingan yang tidak hanya bergantung kepada ceramah semata-mata. Komunikasi dua hala juga sangat penting di mana penceramah perlu berinteraksi dengan peserta melalui sesi soal jawab agar maklumat yang disampaikan dapat diterima dengan baik oleh peserta.
Keseluruhan perlaksanaan program ini dapat berjalan dengan lancar. Harapan saya agar peserta yang terlibat dapat memanfaatkan apa yang diperolehi dan ceramah ini dan bermula dengan sedikit perubahan akan memberi kecemerlangan kepada para peserta di masa akan datang. Dan, yang pasti peserta ini sentiasa diberi perhatian juga menjadi harapan sekolah khususnya dalam kecemerlangan akademik dan sahsiah diri yang terpuji.



M esyuarat Mingguan
Tarikh : 12 Ogos 2009 (Rabu)
Masa : 1.20-2.40 petang
Tempat : Bilik Mesyuarat
Mesyuarat ini di adakan setiap minggu iaitu pada hari Rabu. Ia akan melibatkan semua guru dan guru pelatih praktikum. Ia dijalankan di Bilik Mesyuarat SKSAT.. Mesyuarat ini di mulakan dengan PK Pentadbiran iaitu En Mohd Rashid iaitu:
1) Jadual kedatangan perlu dilapor setiap hari ke hospital bagi tujuan Analisa Laporan Pelajar yang tidak hadir ke sekolah oleh pihak Hospital.
2) Aktiviti kokurikulum sekurang-kurangnya 12 kali setahun bagi aktiviti mingguan.
3) Tahniah untuk Hari Anugerah Cemerlang 2009 kepada semua guru.
4) Perhatian kepada guru bertugas minggu seterusnya perhimpunan akan diadakan seperti biasa.
5) Tuntutan perbelanjaan jika membawa murid ke luar.
Mesyuarat diikuti pula Guru Besar iaitu:
· Dapatan daripada Lawatan ke SK Sultan Idris:
1) Aktiviti sains sangat menarik.
2) Seni Muzik sangat unik- murid beleh menggunakan cara membaca.
3) Tandas bertaraf lima bintang.
4) Saiz kelas kecil.
5) Penggunaan Smart Board.
6) Mini perpustakaan.
7) Kawasan bersih dan terkawal.
8) Bilik guru sangat selesa.
9) Kemenjadian murid berfokus.
10) Kawasan Anjung yang canggih.
11) Layanan guru yang baik.

· Dapatan daripada Mesyuarat Taklimat (12 Julai 2009):
1) Influenza H1N1- Pengambilan Vitamin C, dapatkan arahan dengan Pejabat Kesihatan Negeri baru boleh tutup sekolah.
2) Aktiviti luar.
3) Aktiviti kokurikulum sekolah.
4) Pembestarian sekolah.
5) Aktiviti dalam sekolah yang melibatkan orang luar.
6) Guru ganti.
7) Guru pelatih.
8) Pengawas UPSR.
9) Kurikulum- Pengajaran dan pembelajaran berkesan.
10) Jadual ganti- Guru mesti berada dalam kelas dan membuat kawalan kelas.
· Hal-hal profesion:
1) Surat menyurat.
2) Tawaran/ lantikan/ pengesahan.
3) Kenaikan gaji.
4) PTK.
5) Markah prestasi.
6) Kenaikan pangkat.
· Kesihatan diri:
1) Minda- Sentiasa berfikiran positif.
2) Fizikal- Sentiasa peka akan kesihatan diri, menyayangi diri sendiri supaya kita mampu menyayangi orang lain.
3) Jaga pemakanan.
4) Senaman.
5) Jaga kebersihan.


Refleksi
Perbincangan semula tentang sesuatu aktiviti yang lakukan misalnya Guru Besar bertanya semula hasil dapatan dari lawatan ke SK Sultan Idris (Sekolah Kluster Pertama). Respon yang pelbagai diterima daripada guru-guru menunjukkan lawatan itu memberi info terbaru kepada pihak pentadbir khususnya dalam penambahbaikan pentadbiran sekolah. Kesedaran tentang perubahan-perubahan terkini dalam pendidikan adalah sangat penting agar sekolah sentiasa mengikuti perkembangan semasa
Komunikasi dua hala antara pihak pentadbir dan guru-guru dapat dilihat khususnya sewaktu pemberitahuan sesuatu maklumat. Pihak pentadbir akan memberitahu maklumat-maklumat terbaru kepada guru-guru khususnya perkara yang berkaitan dengan tugas guru yang perlu dilaksanakan dan perlu disegerakan. Manakala guru-guru menerima maklumat yang disampaikan dan bertanya kepada pihak pentadbir jika ada kekeliruan.
Pemberitahuan maklumat mengikut susunan pihak pentadbir dari rendah ke tinggi bermula dengan PK Pentadbiran dan kemudiannya dikuti oleh Guru Besar. Ini menunjukkan penyampaian maklumat mengikut sistem yang ditetapkan dan maklumat yang disampaikan adalah berbeza.
Pemberitahuan maklumat adalah meliputi isu semasa yang perlu diketahui oleh guru dan perlu diambil perhatian. Semua perkara yang disampaikan oleh pihak pentadbir adalah perkara yang berkaitan dengan guru dan murid yang perlu diberi perhatian dan perlu diambil tindakan segera. Justeru, guru sentiasa mendapat maklumat terbaru dari pihak pentadbir dan sentiasa mengetahuai maklumat semasa.




Program Motivasi Pecutan Akhir UPSR 2009
Tarikh : 16 Ogos 2009 (Isnin)
Masa : 8.15-10.15 pagi
Tempat : Dewan Terbuka(A) SKSAT
Tajuk ceramah motivasi ini ialah “Program Motivasi Pecutan Akhir UPSR 2009” anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SKSAT. Ceramah ini di adakan di Surau SKSAT iaitu melibatkan semua murid Tahun 6 iaitu seramai 180 orang dan guru-guru yang terlibat dengan P&P pada waktu tersebut. Ceramah ini dihadiri oleh penceramah jemputan dari luar iaitu En Mohd Shokkeri b Haji Ismail selaku Ketua Jabatan Bimbingan dan Kaunseling IPGM Kampus Darulaman.
Program ini diadakan khusus untuk meningkatkan kecemerlangan akademik yang kini menjadi impian setiap insan dan masyarakat. Begitu juga halnya dengan prestasi sesuatu sekolah rendah sering diukur dengan pencapaian yang cemerlang dalam UPSR. Bagi memartabatkan sekolah ini, program ini dirancang khusus untuk memberi penekanan kepada meningkatkan motivasi dan pendedahan kepada kemahiran belajar yang berkesan. Program ini juga dirangka agar murid-murid dapat mencapai matlamat kecemerlangan diri dan seterusnya menaikkan pencapaian prestasi UPSR.
Program ini juga dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi UPSR kepada peratus yang lebih baik di samping melahirkan murid-murid yang berkualiti. Seratus peratus merupakan target UPSR pada tahun 2009. Diharapkan dengan terlaksananya program seperti ini akan dapat membuka minda kepada semua pihak akan pentingnya kesedaran diri sendiri serta mengenali kekuatan dan kelemahan diri dalam mengharungi cabaran akademik dan juga realiti kehidupan.



Refleksi
Program motivasi ini amat berkesan dalam memantapkan motivasi murid Tahun 6 menjelang peperiksaan. Hal ini kerana, semangat juang yang tinggi ini perlu dikekalkan sehingga hari peperiksaan dan benar-benar bersedia menghadapi peperiksaan sebenar. Hal ini juga kerana, jati diri yang kental perlu disemai sentiasa di dalam diri peserta agar dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan akan menghasilkan kejayaan.
Slot ceramah yang dikendali oleh En Mohd Shokkeri dapat menarik minat peserta. Isi ceramah berkisar kepada diri peserta dan impian mereka dalam peperiksaan. Apa yang penting adalah tentang strategi menghadapi peperiksaan yang tidak hanya bertumpu kepada akademik semata-mata tetapi juga turut menyelitkan hubungan peserta dengan ibu bapa dan Pencipta. Pendedahan di peringkat awal ini perlu dipupuk agar di masa datang para peserta dapat menjadi insan yang berjaya dan mempunyai sahsiah yang terpuji.
Diharapkan juga para peserta akan berusaha mengubah persepsi diri sebelum menghadapi peperiksaan dan menambahbaik kualiti disiplin serta mempunyai strategi dan kemahiran belajar yang berkesan dalam menghadapi UPSR.










Sambutan Hari Kemerdekaan
Tarikh : 1 September 2009 (Selasa)
Masa : 10.15 pagi – 12.45 tengahari
Tempat : Dewan Terbuka(B) SKSAT
Kini, kita telah mencapai kemerdekaan kali ke-52 pada tahun ini. Kemerdekaan ini amat bermakna kepada kita kerana kemerdekaan, kedaulatan dan kemakmuran negara terus terpelihara. Nikmat yang sedang kita kecapi ini tidak ternilai harganya dan bukanlah diperoleh dengan cara yang mudah tetapi hasil daripada pengorbanan dan perjuangan para pemimpin kita pada masa lampau.
Sambutan hari Kemerdekaan ke 52 ini di adakan di Dewan Terbuka (B) SKSAT melibatkan semua murid Tahap 1 ( Tahun 1, 2 dan 3) dan semua guru yang terlibat dengan p&p pada waktu itu. Program ini di pengerusikan oleh En Ali Abdullah PK Hal Ehwal Murid (HEM) SKSAT dan di mulakan dengan ucapan beliau tentang kemerdekaan negara kita. Ucapan beliau juga memberi pendedahan awal tentang rasa cintakan tanahair di peringkat sekolah rendah dan memperingati hari kemerdekaan negara pada setiap tahun.
Program diteruskan pula dengan pembacaan Perutusan oleh Y.A.B pembacaan Perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato’ Hj Alimuddin Bin Haji Mohd Dom. Perutusan ini dibacakan oleh Guru Pelatih Praktikum (Pemulihan Khas) iaitu En Mohd Faraein b. Sanusi. Perutusan ini bertujuan untuk menyampaikan pesanan yang bermakna sempena kemerdekaan kita ke 52. Perutusan itu juga turut menyentuh tentang.konsep 1MALAYSIA yang menimbulkan semangat patriotik iaitu perasaan kasih, sayang dan cintakan Negara. Kemerdekaan yang dicapai juga beerti rakyat yang berjiwa merdeka di mana rakyat yang mempunyai sifat-sifat berdikari, berdaya maju, berdaya saing dan mempunyai minda yang terbuka.
Pogram diteruskan dengan pembacaan perutusan Hari Kebangsaan Y.A.B Tan Sri Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin Menteri Pelajaran Malaysia oleh En Farid Helmyzan b. Fauzi Guru Pelatih Praktikum (Pemulihan Khas). Antara isi utama yang disampaikan dalam perutusan tersebut iaitu peranan guru dalam membimbing murid khususnya dalam menghadapi era masa kini yang penuh cabaran dalam bidang pendidikan dan memenuhi keperluan untuk menjadi Negara maju pada hari ini, sememangnya peranan guru semakin mencabar.
Di ikuti dengan laungan kemerdekaan bersama murid sebagai tanda semangat patriotik terhadap kemerdekaan yang dicapai oleh Negara kita. Di ketuai oleh En Farid Helmyzan b Fauzi, laungan kemerdekaan yang penuh bersemangat oleh murid dan guru bertempat di Dewan Terbuka SKSAT (B). Laungan itu di laksanakan sebanyak tiga kali bagi memupuk semangat murid-murid dan guru SKSAT untuk menghayati kemerdekaan yang dicapai oleh Negara kita pada tahun ini.
Program ini dilengkapkan lagi dengan tayangan video tentang detik-detik sejarah kemerdekaan Negara kita. Semua murid dan guru menonton tayangan video tersebut selama 30 minit. Video tersebut menayangkan tentang perjuangan tokoh tanah air untuk mencapai kemerdekaan. Detik-detik untuk mencapai kemerdekaan yang dipaparkan di dalam video tersebut memberi kesejahteraan hidup kepada kita sampai saat dan detik hari ini. Video ini dirakamkan khusus untuk kita menghayati sepanjang tahun sejarah yang perlu di kenang sepanjang zaman.
Akhir sekali, pengenalan asal usul pembentukan negara Malaysia dan perjuangan kemerdekaan oleh En Muzaffar b. Tawang selaku guru disiplin SKSAT. Penerangan oleh beliau adalah tentang bagaimana permulaan kepada pembentukan Negara Malaysia dengan peritiwa-peristiwa yang berlaku sebelum pengisytiharan Negara Malaysia. Beliau juga turut menyentuh tentang tokoh-tokoh yang terlibat dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan untuk tanah air. Program ini diakhiri dengan aktiviti kuiz tentang apa yang telah disampaikan oleh En Muzaffar. Kuiz ini mendapat sambutan dari murid dan bersaing antara satu sama lain untuk menjawab soalan kuiz tersebut.


Refleksi
Program Sambutan Hari Kemerdekaan ini adalah wajib dilaksanakan di setiap sekolah. Semasa program ini dilaksana di SKSAT, saya melihat beberapa perkara yang mendatangkan manfaat hasil dari program tersebut. Komitmen murid adalah sangat tinggi semasa program ini dilaksanakan. Hal ini kerana pengisian dalam program ini sangat menarik dan di tambah dengan peneguhan positif iaitu pemberian hadiah di akhir program kepada murid yang dapat menjawab soalan dari kuiz yang di kemukakan. Ini bagi menghargai komitmen murid dalam program ini kerana kesungguhan dan minat murid terhadap apa yang telah disampaikan.
Semua guru yang terlibat dengan p&p pada waktu itu mengambil bahagian untuk mengikuti sambutan kemerdekaan tersebut di samping mengawal kelas masing-masing mengikut susunan yang telah ditetapkan. Ketepatan masa, keselarasan mengumpulkan murid-murid di lokasi yang telah ditetapkan dan kawalan murid semasa perlaksanaan program adalah sangat bersistematik. Ini memudahkan kelancaran program ini dari awal sampai berakhirnya program ini.
Pertamanya, program ini telah memberi pendedahan awal kepada murid sekolah rendah tentang sejarah kemerdekaan negara dari penjajahan para penjajah. Ini sangat penting kerana perlunya generasi masa kini mengetahui tentang kebebasan yang kita perolehi selama 52 tahun ini adalah hasil usaha dan pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu untuk mencapainya. Apabila mereka didedahkan dengan peristiwa ini, ia dapat memupuk semangat cintakan negara sebagai tempat yang didiami kekal selama-lamanya dan kita bebas di negara sendiri.
Keduanya, program ini juga dapat mengingati semua yang terlibat tentang sejarah kemerdekaan negara. Ini kerana suatu ketika dahulu, kita pernah mengalami kesusahan hidup akibat dijajah oleh kuasa asing. Kita tidak dapat membuat keputusan sendiri sebaliknya bertindak mengikut dari arahan kuasa asing. Kini, kesusahan untuk mencapai kemerdekaan dahulu patut diingati dan di kenang agar ia tidak berulang lagi. Sejarah yang lepas patut dijadikan teladan kepada generasi masa kini bahawa kesenangan yang di kecapi kini adalah kesukaran di masa lepas.
Seterusnya, ia juga dapat memberi kesedaran tentang segala nikmat kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini adalah hasil usaha gigih nenek moyang kita terdahulu. Generasi pada masa kini perlu mensyukuri nikmat yang kita perolehi tanpa kesusahan sebaliknya telah menerima seadanya tatkala melihat di dunia ini. Kesedaran ini perlu untuk membolahkan anak-anak yang masih mentah ini insaf akan apa yang telah terjadi pada tanah air kita suatu ketika dahulu dan menjaganya agar tidak berulang lagi.
Sambutan kemerdekaan di sekolah ini juga mampu menyemai semangat patriotik dalam kalangan murid-murid. Bak kata pepatah Melayu, ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ia begitu sinonim sekali dengan program ini kerana nilai yang baik ini harus di semai di peringkat awal lagi.Negara yang di diami kini perlu di jaga, di sayangi dan di cintai. Hal ini kerana rakyat adalah nadi penggerak dalam sesebuah negara. Jika semangat patriotik ini tidak di semai dan di pupuk sentiasa, ia akan dilupai dan menjadi kudis dalam negara dan kemungkinan sekali lagi negara kita akan di jajah.











Pengisian Motivasi untuk murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3)
Tarikh : 6 September 2009 (Ahad)
Masa : 10.15 pagi – 12.45 tengahari
Tempat : Dewan Terbuka(A) SKSAT
Pengisian Motivasi untuk murid Tahap 1(Tahun 1, 2 dan 3) anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SKSAT. Program ini di adakan di Dewan Terbuka (A) SKSAT iaitu melibatkan semua murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) dan guru-guru yang terlibat dengan P&P pada waktu tersebut. Program ini adalah satu program yang dilaksanakan sebagai pengisisan kepada murid-murid Tahap 1 yang ketiadaan untuk proses p&p kerana keterlibatan guru bagi mesyuarat Peperiksaan UPSR.Program ini di pengerusikan oleh Puan Hajah Fauziah Hanim bt Mukhtar selaku guru Bimbingan dan Kaunseling SKSAT. Beliau menjelaskan tentang aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan.
Program di mulakan dengan slot ceramah pertama iaitu oleh Ustazah Siti Hajar mengenai topik Fadhilat di Bulan Puasa. Antara perkara-perkara yang disentuh adalah mengenai pahala yang boleh dicapai melalui amalan yang dilakukan di bulan puasa. Adab-adab yang perlu dijaga semasa berpuasa juga turut menjadi pengisian dalam ceramah ini. Penceramah juga turut menyentuh tentang perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Kemudia, sesi soal jawab antara penceramah dengan murid-murid tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan amalan-amaln semasa di bulan puasa.
Seterusnya, program ini diteruskan dengan slot tayangan video yang bertajuk “Fikir Dulu Sebelum Buang”. Tayangan ini adalah tentang sikap yang baik dan positif yang perlu untuk menjaga alam sekitar. Antara slot yang ditayangkan ialah cara-cara membuang sampah yang betul dan di tempat yang dikhaskan. Tayangan ini berbentuk kartun animasi dan bersesuaian dengan jiwa murid-murid Tahap 1. Sebaik sahaja tayangan video ini tamat, pengerusi majlis membuat kuiz kepada murid-murid dan bertanya soalan berkaitan dengan apa yang telah di pertontonkan dalan tayangan video tersebut.
Program ini diambil alih pula oleh Puan Roshaizan bt Mat selaku Guru Pelatih Praktikum (Bimbingan dan Kaunseling) untuk membuat kuiz kepada murid-murid menerusi tayangan video yang di paparkan. Tajuk tayangan video ini adalah “Pingu” sebagai acara selingan untuk menunjukkan kesungguhan seekor binatang untuk belajar menyanyi. Motif yang ingin di sampaikan adalah setiap apa yang diimpikan memerlukan kesungguhan untuk melakukannya dan usaha yang berterusan. Soalan kuiz di kemukan berkaitan dengan tayangan video dan hadiah diberikan kepada murid yang dapat menjawab.
Akhir sekali, program ini di ambil alih oleh Cik Rabiah bt Ishak juga Guru Pelatih Praktikum (Bimbingan dan Kaunseling). Slot ini diisi dengan kisah Katak-katak Kecil. Cerita yang di sampaikan ini mempunyai unsur motivasi kepada murid-murid di mana dalam melaksanakan sesuatu, jadi lah seolah-olah katak yang pekak berusaha untuk memanjat menara yang tinggi tanpa memperdulikan kata-kata orang lain. Ia berjaya memanjat menara tersebut kerana tidak mendengar kata-kata orang.
Justeru, pengisian dalam program ini adalah bertemakan motivasi diri. Hal ini dapat memberi motivasi kepada murid-murid untuk membuat perkara positif dan baik. Dan, setiap kelas berada dalam kawalan yang baik dan semua murid yang terlibat dapat dikumpulkan di tempat yang strategik dan terkawal.








Refleksi
Beberapa perkara yang saya dapat lihat semasa program ini dilaksanakan iaitu membolehkan murid berada dalam kawalan. Perlunya sesuatu pengisian apabila ketiadaan ramai guru semasa p&p berlangsung. Murid-murid Tahap 1 tidak boleh dibiarkan tanpa guru kerana kebanyakan daripada mereka perlu di kawal dan tidak dapat mengurus diri dengan baik. Jadi, semua murid-murid yang terlibat ini perlu di kawal agar tidak berkeliaran dan berlaku kejadian yang tidak diingini.
Program ini juga perlu dirancang sekalipun melibatkan murid-murid Tahap 1. Pengisian program mestilah bersesuaian dengan tahap kebolehan dan tahap penerimaan mereka. Antaranya, pengisian Fadhilat Bulan Puasa yang bersesuaian dengan situasi bulan puasa yang sedang di tempuhi. Jadi, murid-murid mudah untuk mengaplikasikan apa yang yang di dengar dengan keadaan realitinya kini. Manakala, slot motivasi pula adalah perlu sentiasa di sampaikan untuk membolehkan murid-murid bersemangat untuk terus belajar dan terus berusaha mencapai kejayaan dalam hidup yang positif dalam setiap perkara yang ditempuhi.
Program ini walaupun hanya melibatkan jangka masa yang sekejap tetapi manfaat dari pengisian dari program tersebut adalah menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan murid-murid. Nilai-nilai murni perlu di pupuk di peringkat awal lagi agar murid-murid tampil tatkala dewasa dengan jati diri yang kukuh yang diperolehi dari awal lagi. Hal ini penting kerana murid-murid mudah di pengaruhi oleh rakan sebaya jika tidak dibendung dari awal.

No comments:

Post a Comment