Friday, September 11, 2009

APA YANG TELAH DLALUI SEPANJANG PRAKTIKUM

Minggu 1 (21- 25 Jun 2009)
Bagi minggu pertama, saya banyak memberi tumpuan kepada aktiviti pengurusan dan pentadbiran iaitu saya perlu merancang jadual 12 minggu praktikum bersama guru pembimbing, menyusun atur perkhidmatan kaunseling yang akan di laksanakan dan menyemak maklumat diri murid-murid yang di kenalpasti bermasalah serta membuat “Reach Out” untuk mengumumkan kedatangan saya sebagai guru pelatih praktikum bimbingan di sekolah tersebut.
Saya juga mempelajari sesuatu khususnya dalam proses penyesuaian diri dengan budaya sekolah. Misalnya, sesi suai kenal dengan semua warga SKSAT iaitu pihak pentadbiran, staf-staf sokongan , guru-guru serta murid-murid. Sewaktu sesi taklimat bersama Guru Besar, beliau banyak menyentuh tentang budaya SKSAT khususnya dari segi beberapa kejayaan yang di telah diperolehi di peringkat daerah mahupun peringkat kebangsaan.
Bagi minggu pertama, saya berinteraksi dengan beberapa guru yang sempat saya temui dan bertanyakan tentang rutin guru di sekolah ini. Hasil maklumat yang diperolehi, di sekolah ini ia lebih memberi penekanan kepada akademik. Jadi segala aktiviti yang dirancang perlu mendapat persetujuan guru besar terlebih dahulu. Oleh sebab itu, pentadbiran berbeza di setiap sekolah mengikut cara pihak atasan membuat pengrusan. Saya akan mendapatkan seberapa pengalaman, pengetahuan yang ada di sekolah ini sebaik mungkin agar segala yang diperolehi dapat dijadikan panduan di masa akan datang.





Minggu 2 (28 Jun- 2 Julai 2009)
Untuk minggu kedua, saya lebih berfokus kepada penyusunan jadual untuk perkhidmatan bimbingan dan kaunseling iaitu kaunseling individu, kaunseling kelompok dan bimbingan kelas. Di sini beberapa perkara telah saya pelajari iaitu dari segi pengurusan masa. Pembahagian masa sangat penting agar semua perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang ingin dilaksanakan adalah seperti yang dirancang. Saya perlu mengenalpasti klien yang bermasalah, membuat temujanji untuk memberi khidmat kaunseling kepada klien tersebut dan membuat penyelesaian kepada permasalahan yang di hadapi. Ini semua memerlukan pengurusan masa yang teratur.
Selain itu, sepanjang mengadakan sesi, saya dapat mengenalpasti beberapa kelemahan saya dalam pengendalian sesi khususnya untuk bimbingan kelas. Bagi bimbingan kelas saya, ia melibatkan semua murid Tahap 1 iaitu Tahun 2. Sepanjang pengendalian saya, saya akan hilang kawalan setiap kelas yang saya masuk. Murid terlalu bising dan tidak mendengar arahan guru. Saya mengambil tindakan iaitu melalui penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang mampu menarik minat murid. Oleh demikian, panduan ini dapat saya gunakan di masa akan datang di mana penggunaan BBM mempengaruhi penerimaan hasil pembelajaran bagi murid Tahap 1 dan Tahap 2.
Pengunaan kemahiran-kemahiran asas sesi kaunseling adalah sangat penting. Di sini lah peluang untuk saya mengaplikasikan apa yang telah dipelajari di maktab kepada klien dalam situasi sebenar di sekolah rendah. Ini kerana klien di sekolah rendah di mana mereka bersikap terlalu jujur dan akan berkongsi apa dialami sejujurnya kepada guru bimbingan. Peringatan yang perlu dipatuhi oleh saya sebagai guru bimbingan ialah etika kerahsiaan sebagai tanda menghormati maruah klien serta memberi bimbingan yang sewajarnya.




Minggu 3 (5 Julai- 9 Julai 2009)
Saya berjumpa dengan guru pembimbing dan cara pendekatan yang sesuai semasa pengajaran bagi pelajar Tahun 2. Guru pembimbing memberi beberapa penekanan untuk proses pengajaran dan pembelajaran murid Tahap 1 khususnya Tahun 2 iaitu menggunakan suara yang lantang dan tegas sewaktu kali pertama memasuki kelas. Ini kerana.pandangan pertama murid terhadap memberi kesan untuk proses p&p yang seterusnya. Ini akan menimbulkan rasa hormat mereka kepada guru
Saya juga telah mencari pendekatan yang sesuai untuk p&p bagi murid Tahun 2 iaitu berjumpa dengan guru kelas Tahun 2 dan bertanya cara mereka mengajar dan membuat kawalan kelas sewaktu mengendalikan kelas masing-masing. Saya juga boleh berkongsi pengalaman dengan guru-guru terlibat bagi mempraktifkan p&p dan kawalan yang berkesan. Ini kerana guru-guru terlibat sudah berpengalaman lebih kurang 3 hingga 4 tahun di sekolah tersebut.
Selain itu, perlulah perbincangan dengan murid-murid sebelum memulakan aktiviti. Murid bukan sekadar mendengar sahaja, tetapi melihat dan mengaplikasikam apa yang diajari. Ini membolehkan nilai yang diinginkan di sampaikan dengan oleh guru diperolehi selepas p&p. Disamping itu,saya sentiasa membuat peneguhan positif misalnya memberi pujian kepada murid yang sentiasa menjawab soalan.
Penggunaan BBM yang pelbagai dapat menarik minat pelajar sewaktu proses p&p. Selepas memasuki kelas yang terakhir tahun 2, saya menerima respon yang kurang memuaskan. Selepas itu untuk kelas yang seterusnya,saya mempelbagaikan BBM untuk p&p dan lebih banyak berinteraksi dengan murid. Saya juga perlu kreatif dan mencari kesesuaian khususnya dari segi penggunaan BBM. BBM yang digunakan mesti sesuai dengan tahap penerimaan murid Tahun 2, menarik minat untuk melakukan aktiviti dan dapat memberi nilai selepas pembelajaran.Saya akan menggunakan BBM lain untuk setiap kelas agar murid-murid tidak mempelajari perkara yang sama.


Minggu 4 (12 Julai- 16 Julai 2009)
Saya mendapat satu tugasan baru pada minggu ini iaitu mengambil alih tugas sebagai guru yang akan membuat pengumuman bagi pemberitahuan maklumat semasa kepada murid sekolah. Walaupun tugasan ini di anggap perkara mudah tetapi bagi saya adalah sesuatu perkara baru yang saya perolehi semasa menjalani latihan praktikum. Di sini saya telah mempelajari beberapa perkara khususnya dalam menyampaikan maklumat tanpa pendengar di hadapan tetapi perlu di sampaikan untuk didengari oleh semua pihak.
Saya perlu berkomunikasi sehala iaitu memberi maklumat melalui alat audio visual sahaja. Maklumat yang ingin disampaikan mestilah ringkas, tepat, padat dan difahami oleh semua pendengar. Hebahan maklumat yang ingin di sampaikan biasanya diberitahu awal oleh guru yang ingin membuat pengumuman. Sesuatu maklumatyang ingin disampaikan iaitu tentang aktiviti yang akan dilaksanakan untuk setiap hari dan perlu diberitahu kepada semua guru dan murid-murid. Hebahan maklumat yang ingin di sampaikan biasanya segera dan di awal pagi waktu persekolahan.
Peringkat awal untuk melaksanakan tugas ini, saya bertanya kepada guru pembimbing kerana beliau merupakan guru yang diberi tugas sebelum ini untuk membuat pengumuman. Justeru, saya belajar cara yang betul untuk membuat pengumuman agar di dengari dan di fahami oleh semua pihak. Ini kerana sangat penting sebagai panduan untuk melaksanakan cara berkomunikasi satu hala agar maklumat yang ingin disampaikan secara sempurna.







Minggu 5 (19 Julai- 23 Julai 2009)
Dalam minggu ini, saya telah menggunakan strategi pemusatan murid bagi proses pembelajaran bimbingan kelas murid Tahap 2 iaitu Tahun 4 dan Tahun 5. Hasil dari pemerhatian dan penilaian kepada prestasi murid-murid Tahap 2, saya perlu menggunakan strategi pengajaran yan bersesuaian dengan murid.
Keseluruhan pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Hal ini kerana strategi ini bersesuaian dengan tahap penerimaan murid di Tahap 2 kerana dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, murid memainkan peranan manakala guru merupakan pemimpin yang membimbing murid menjalankan aktiviti pembelajaran.
Saya juga melaksanakan komunikasi dua hala iaitu guru menggunakan kaedah menyoal untuk membimbing murid supaya berfikir dan bertindakbalas dengan memberi jawapan mereka. Murid melaksanakan aktiviti secara berkumpulan dan menggunakan kaedah perbincangan. Murid-murid banyak berinteraksi antara satu sama lain dan nilai-nilai murni yang dapat dilihat iaitu bekerjasama, tolong-menolong,dan bertolak-ansur.
Oleh itu, keseluruhan pengajaran dan pembelajaran minggu ini memberi panduan kepada saya bagi pengajaran di masa akan datang. Ini kerana penggunaan strategi mengajar yang bersesuaian dengan tahap penerimaan dan kebolehan murid. Pandangan dan bimbingan dari guru pembimbing saya sangat berguna pada masa ini dan saya akan jadikan panduan bagi pengajaran seterusnya.






Minggu 6 (26 Julai- 30 Julai 2009)
Pada minggu ini, saya telah diselia oleh pensyarah minor bagi subjek minor (Pendidikan Jasmani) iaitu En Jamaluddin. Saya mendapat banyak tunjuk ajar dari beliau khususnya dalam penulisan RPH bagi Pendidikan Jasmani. Pertamanya, penulisan RPH yang ditulis mesti selari dengan aktiviti yang akan dilaksanakan. Ini bermaksud apa yang saya telah dirancang untuk pengajaran dan pembelajaran mesti saya laksanakan mengikut apa yang telah saya rancang.
Keduanya, penulisan objektif juga jelas dan dapat dicapai selepas pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana objektif yang dinyatakan akan dapat dilihat selepas melaksanakan sesuatu aktiviti pengajaran. Jadi, saya perlu merancang RPH, menyatakan objektif dan pencapaian objektif dapat dilihat selepas pengajaran dan pembelajaran sama ada dicapai atau tidak.
Seterusnya penerapan nilai yang dinyatakan tidak semestinya banyak. Nilai yang ingin diterapkan sewaktu P&P walau hanya satu nilai tetap dikira penerapan nilai kerana tidak semua nilai yang dinyatakan dapat dicapai selepas perlaksanaan P&P. ini juga kerana penerapan nilai bergantung kepada tahap penerimaan dan tahap kebolehan murid-murid. Satu nilai sekurang-kurang dapat dicapai selepas P&P sudah dikira baik asalkan nilai tersebut dapat diterapkan dalam kalangan murid selepas semasa dan selepas perlaksanaan sesuatu aktiviti.
Saya juga tidak boleh bergantung kepada buku teks semata-mata tetapi saya perlu kreatif untuk mengolah sesuatu aktiviti mengikut kesesuaian murid. Saya juga perlu mempelbagaikan cara mengajar untuk menarik minat murid-murid. Jika aktiviti yang tidak melibatkan aktiviti bermain, saya masih boleh aplikasikan aktiviti Pendidikan Jasmani. Misalnya, pemanasan badan tidak semestinya perlu dibuat bermula dengan anggota badan dari atas ke bawah, sebaliknya saya boleh menggunakan muzik asalkan ada pergerakan psikomotor.


Minggu 7 (2 Ogos- 6 Ogos 2009)
Pada minggu ini, saya telah diselia oleh pensyarah pembimbing major iaitu Cik Hanani bagi sesi Kaunseling Kelompok. Saya mendapat tunjuk ajar dari beliau khususnya dalam pengendalian sesi Kaunseling Kelompok. Hasil dari seliaan beliau semasa sesi Kaunseling Kelompok yang saya kendalikan, beberapa perkara boleh saya jadikan panduan untuk perlaksanaan bagi sesi seterusnya.
Pada fasa permulaan, perlaksanaan sesi adalah baik iaitu mengikut fasa yang betul. Manakala ada fasa perkembangan, saya perlu fokus terhadap apa yang dibincangkan oleh ahli kelompok. Setiap apa yang dinyatakan oleh ahli kelompok perlu saya terokai secara mendalam.
Saya juga tidak boleh membiarkan sesuatu perkara yang dibincangkan oleh ahli kelompok tergantung dan tidak diberi perhatian. Ini kerana semasa perbincangan dengan ahli kelompok, saya perlu memberi tumpuan terhadap perkara yang dinyatakan kerana sesetengah perkara tersebut perlu diberi perhatian dan perlu kepada penjelasan yang mendalam daripada ahli kelompok.
Saya tidak boleh menggunakan kuasa “veto” iaitu memberi pandangan saya kepada ahli kelompok terhadap isu yang dibincangkan oleh ahli kelompok semasa perlaksanaan sesi. Saya perlu memainkan peranan saya sebagai pemimpin iaitu memberi peluang kepada ahli kelompok untuk memilih dan membuat keputusan sendiri.







Minggu 8 (9 Ogos- 13 Ogos 2009)
Pada minggu ini, saya mengendalikan satu program motivasi iaitu Program Motivasi dan Eksplorasi kecemerlangan 2009. Bagi Program Motivasi dan Eksplorasi kecemerlangan 2009 ini, saya telah diberi tugas sebagai setiausaha di mana saya perlu membuat kertas kerja program ini. Sebelum program ini berlangsung, saya membuat persiapan tempat, persediaan PA System dan membuat kawalan murid. Manakala semasa program ini berlangsung, satu perkara dapat dilihat iaitu murid-murid kurang memberi tumpuan dan sedikit bising. Beberapa cadangan dan penambahbaikan perlu diambilkira sebagai panduan kepada saya untuk mengendalikan ceramah di masa akan datang.
Antaranya ialah penceramah perlu berdiri semasa mengendalikan sesuatu ceramah iaitu penceramah perlu lebih tinggi kedudukannya daripada peserta. Hal ini adalah penting untuk menarik perhatian para peserta dan membuat kawalan semasa ceramah berlangsung. Suara penceramah juga perlu ada intonasi tertentu untuk memberi kekuatan tentang apa yang diperkatakan dan dapat menarik tumpuan peserta.
Isi ceramah juga mestilah menarik dan bersesuaian dengan tahap penerimaan murid. Bahkan masa yang yang diberikan perlu dipenuhi dengan aktiviti sampingan yang tidak hanya bergantung kepada ceramah semata-mata. Komunikasi dua hala juga sangat penting di mana penceramah perlu berinteraksi dengan peserta melalui sesi soal jawab agar maklumat yang disampaikan dapat diterima dengan baik oleh peserta.
Keseluruhan perlaksanaan program ini dapat berjalan dengan lancar. Harapan saya agar peserta yang terlibat dapat memanfaatkan apa yang diperolehi dan ceramah ini dan bermula dengan sedikit perubahan akan memberi kecemerlangan kepada para peserta di masa akan datang. Dan, yang pasti peserta ini sentiasa diberi perhatian juga menjadi harapan sekolah khususnya dalam kecemerlangan akademik dan sahsiah diri yang terpuji.



Minggu 9 (16 Ogos- 20 Ogos 2009)
Slot ceramah yang dikendali oleh En Mohd Shokkeri dapat menarik minat peserta. Isi ceramah berkisar kepada diri peserta dan impian mereka dalam peperiksaan. Apa yang penting adalah tentang strategi menghadapi peperiksaan yang tidak hanya bertumpu kepada akademik semata-mata tetapi juga turut menyelitkan hubungan peserta dengan ibu bapa dan Pencipta. Pendedahan di peringkat awal ini perlu dipupuk agar di masa datang para peserta dapat menjadi insan yang berjaya dan mempunyai sahsiah yang terpuji.
Manakala semasa program ini berlangsung, satu perkara dapat dilihat iaitu murid-murid kurang memberi tumpuan dan sedikit bising. Beberapa cadangan dan penambahbaikan perlu diambilkira sebagai panduan kepada saya untuk mengendalikan ceramah di masa akan datang. Penceramah perlu menguasai peserta yang seramai 180 orang dengan aktiviti sampingan agar tumpuan peserta berfokus kepada apa yang diperkatakan oleh penceramah.
Keseluruhan pengendalian program ini saya sangat berpuashati kerana saya mampu memberi sumbangan kepada sekolah dan khususnya kepada murid Tahun 6. Hal ini kerana, saya telah cuba sedaya upaya untuk mendapatkan penceramah yang berpengalaman untuk memberi motivasi sebelum peperiksaan UPSR. Walaupun ada sebilangan peserta kurang memberi tumpuan terhadap ceramah tersebut, itu bukan menjadi halangan kepada saya untuk mengendalikan program berbentuk ceramah motivasi seterusnya kerana hal itu saya jadikan pengajaran dan panduan kepada saya di masa akan datang.




Minggu 10 (30 Ogos- 3 Sept 2009)
Hasil penyeliaan pensyarah pembimbing,saya perlu memberi perhatian kepada beberapa perkara iaitu pernyataan hasil pembelajaran (No.3) perlu saya jelaskan dengan tepat dan mencapai maksud apa yang murid perolehi melalui perlaksanaan aktiviti.
Penggunaan BBM iaitu kad cerita perlu saya sesuaikan dan mempunyai perkaitan denan murid iaitu “Anda Mempunyai 6 Orang Anak”…boleh digantikan dengan ayat lain yang bersesuaian dan berkaitan dengan kehidupan murid.Dan yang ketiganya,terdapat dua kumpulan yang terkebelakang semasa pembentangan.Kedua-dua kumpulan ini kurang memberi perhatian semasa pembentangan kumpulan lain.
Justeru,bagi pelaksanaan P&P yang akan datang saya perlu menjelaskan hasil pembelajaran yang bertepatan,pemilihan BBM yang mempunyai kaitan dengan murid dan terus memberi perhatian kepada kumpulan yang terasing dengan cara memanggil ke ruang hadapan dan berhampiran dengan guru.










Minggu 11 (6- 10 September 2009)
Pada minggu ini saya telah menyediakan dua set Senarai Semak untuk membuat penilaian terhadap perlaksanaan perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling yang telah saya laksanakan sepanjang menjalani Praktikum Kaunseling. Senarai semak ini akan diedarkan kepada guru yang terpilih dan murid-murid yang pernah terlibat dengan aktiviti perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling yang telah dilaksanakan.
Sebelum menyediakan Senarai Semak ini, saya telah mempelajari beberapa perkara tentang penyediaan Senarai Semak tersebut. Perkara pertama yang saya lakukan ialah membuat perbincangan dengan guru pelatih praktikum yang turut sama terlibat dalam penyediaan Senarai semak ini tentang item-item yang akan dibuat penilaian perlaksanaannya. Kami mengklasifikasikan beberapa item yang akan dimasukkan ke dalam Senarai Semak tersebut.
Keduanya, saya meminta pandangan dan pendapat guru pembimbing (major) tentang penyediaan item-item yang boleh dimasukkan dalam penilaian tersebut. Cadangan dari guru pembimbing iaitu penilaian boleh dibuat tentang keberkesanan tentang penampilan guru pelatih, perlaksanaan Kaunseling Individu, perlaksanaan Kaunseling Kelompok, perlaksanaan Bimbingan Kelas dan Program motivasi yang telah dilaksanakan.
Seterusnya, setelah draf Senarai Semak itu siap dilakukan, saya berjumpa pula dengan pensyarah pembimbing (major) untuk mendapatkan pandangan dan idea yang mungkin boleh dibuat penambahbaikan dalan Senarai Semak tersebut. Beliau bersetuju dengan draf yang dirancang dan menggalakkan senarai Semak itu diedarkan secepat mungkin kerana tempoh praktikum hanya tinggal 1 minggu lagi. Saya dan rakan praktikum mengedarkan Senarai Semak tersebut pada minggu ini juga dan membuat refleksi hasil daripada Senarai Semak tersebut.
Justeru, penghasilan Senarai Semak memberi pendedahan baru kepada saya bahawa perlunya penyediaan dan perancangan yang teliti. Hal ini bagi membolahkan apa yang dilaksankan mendapat hasil yang berkualiti dan bertepatan tentang apa yang ingin dinilaikan.

1 comment: